Home Nasional Ada beri alasan baru cerai, terpaksa balik kampung – Rajab

Ada beri alasan baru cerai, terpaksa balik kampung – Rajab

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Rajab Ahad Ismail berbual dengan pemandu semasa membuat sekatan jalan raya (Ops Covid19) pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – “Selain hantar makanan, setakat ini, ada yang kata tadi baru lepas diceraikan suami (jadi)  terpaksa balik kampung, kami tak dapat elakkan terpaksa menerimanya.”

Itu cerita Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika ditanya apa alasan yang diberikan oleh orang ramai kepada polis ketika ditahan dan ditanya kenapa mereka perlu keluar dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan sehingga 31 Mac ini.

“Ada ramai keluar naik kereta, ada beri nasihat pergi kedai beli makanan tak boleh tinggalkan anak isteri di rumah. Saya tahu, tapi kita beri nasihat juga kepada dia,” katanya kepada pemberita di lokasi sekatan jalan Ops Covid-19 di hadapan Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan hari ini.

Rajab mengakui pihak polis menerima banyak halangan dalam menguatkuasakan perintah larangan yang dikenakan kerajaan sehingga 31 Mac ini.

“Sekarang ini memang menguatkuasa perintah banyak halangan, yang paling susah ialah kesedaran diri kurang pada awam dan mereka masih tak ambil serius. Itulah kami masih cuba menjelaskan kepada mereka supaya mematuhi penguatkuasaan kerajaan..
mungkin ada yang degil mungkin tak sedar.

“Macam itulah tapi kita cuba sedaya upaya pastikan dan nasihat mereka supaya memahami dan ambil serius dan beri kerjasama duduk dalam rumah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Rajab, polis telah meningkatkan operasi rondaan bagi mengekang sebarang insiden pecah bangunan atau samun di premis yang ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Ia merupakan sebahagian daripada tugas penguatkuasaan polis selain melakukan sekatan jalan raya untuk menasihati orang awam mengurangkan pergerakan dan aktiviti luar rumah.

Katanya, seramai lebih 80 pegawai dan anggota telah dikerah melaksanakan operasi sekatan jalan raya secara lebih kerap di kawasan Wangsa Maju sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Sepanjang sekatan jalan raya, kami mendidik dan menasihati pengguna jalan raya supaya memakai penutup mulut dan hidung dan kurangkan bergerak dalam kumpulan atau keluarga kecuali untuk urusan yang penting dan sangat munasabah.

“Duduk di rumah sekiranya tiada pergerakan yang penting kecuali pergerakan penting sahaja iaitu mendapatkan makanan dan perubatan.Inilah pendekatan yang kita ambil sepanjang masa 24 jam selain kereta peronda dan unit bermotosikal juga membuat hebahan nasihat kepada awam kurangkan pergerakan,” ujarnya.- MalaysiaGazette