NEW DELHI – Empat lelaki yang merogol dan membunuh seorang penuntut di sini pada tahun 2012 telah digantung sampai mati.
Akshay Thakur, Vinay Sharma, Pawan Gupta dan Mukesh Singh dihukum mati oleh mahkamah yang selesai perbicaraan pada tahun 2013.
Mereka digantung di dalam Penjara Tihar yang kawalannya cukup ketat.
Ia merupakan hukuman gantung kali pertama di India sejak tahun 2015.
Kes berkenaan mendapat perhatian di India hingga mendorong negara ini melaksanakan undang-undang baru anti rogol.
Mangsa, seorang penuntut fisioterapi dirogol oleh enam orang lelaki dalam sebuah bas yang bergerak.
Mengikut fakta kes, penuntut berkenaan menaiki sebuah bas kira-kira jam 8.30 malam pada 16 Disember 2012 bersama teman lelakinya untuk pulang ke rumah selepas menonton wayang.
Ketika itu, enam lelaki berkenaan sudah berada di dalam bas berkenaan, bertindak menyerang pasangan itu.
Mereka merogol mangsa sebelum memukulnya dengan batang keluli. Teman lelakinya turut dibelasah.
Keenam-enam perogol itu berjaya ditahan tetapi salah seorangnya, Ram Singh mati di dalam penjara pada bulan Mac 2013, dipercayai membunuh diri.
Seorang lagi suspek, dibebaskan pada tahun 2015 selepas menjalani hukuman juvana kerana semasa kejadian berusia 17 tahun.
Beberapa bulan lalu, keempat-empat suspek telah memfail petisyen di Mahkamah Agung untuk mengurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup tetapi ditolak oleh mahkamah.
Rayuan kali terakhir beberapa jam sebelum hukuman mati dilaksanakan turut ditolak.
Ibu mangsa yang ditemui memegang gambar anaknya selepas hukuman itu dilaksanakan berkata:”Akhirnya kematian anak saya mendapat keadilan”.
Orang ramai juga berpuas hati dengan pelaksanaan hukuman itu selepas penjara memaklumkan telah selesai menjalani hukuman mati ke atas kesemua tertuduh. – MalaysiaGazette
Ia balasan yang setimpal dengan hukuman