Home Nasional Covid-19: Hadir pertemuan dengan 2 MP Sarawak, Teresa buat ujian

Covid-19: Hadir pertemuan dengan 2 MP Sarawak, Teresa buat ujian

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengambil inisiatif membuat ujian Covid-19 susulan ujian yang terhadap dua Ahli Parlimen Sarawak didapati positif baru-baru ini.

Bagaimanapun keputusan ujian Teresa untuk virus itu adalah negatif.

Ujar Teresa, beliau hadir semasa pertemuan dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan Andrew Wong Ling Biu (Sarikei) baru-baru ini.

“Saya melakukan ujian Covid-19 di Pusat Perubatan Taman Desa kerana saya telah mengadakan pertemuan dengan dua Ahli Parlimen DAP yang telah didiagnosis positif dan dimasukkan ke hospital.

“Keputusan ujian menunjukkan bahawa saya selamat dan sihat,” katanya di Twitter.

Sementara itu, Teresa berharap ujian saringan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga negatif.

“Memandangkan ramai Ahli Parlimen yang berjumpa dua Ahli Parlimen berkenaan diuji negatif, Dr Mahathir juga akan baik,” tambahnya.

Dr Mahathir kini melakukan kuarantin secara sukarela berikutan kontak rapat dengan kes Covid-19 yang disahkan.

Setakat semalam, Malaysia mencatat 900 kes Covid-19 dengan dua kematian direkodkan. – MalaysiaGazette