Home Pendapat Jaminan air terawat penting dalam menangani wabak Covid-19

Jaminan air terawat penting dalam menangani wabak Covid-19

Gambar hiasan

KERAJAAN Persekutuan sedang melaksanakan langkah yang sangat penting untuk membendung penyebaran Covid-19 dan air adalah penting dalam membendung penyebaran virus ini. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) kecewa dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan Sg Selangor dan menyebabkan gangguan sementara yang tidak terjadual pada malam 17 Mac 2020. Sungai ini dan 4 loji perawatan airnya membekalkan hampir 60% keperluan air Lembah Klang.

Disebabkan perintah kawalan pergerakan, AWER menganggarkan penggunaan air domestik akan meningkat tetapi kenaikan permintaan ini akan dapat ditampung kerana pemberhentian aktiviti komersial dan perindustrian yang tidak kritikal. Pada masa yang sama, hospital dan kemudahan berkaitan kesihatan lain serta aktiviti perindustrian kritikal (diluluskan oleh kerajaan) masih memerlukan air terawat. Di samping itu, penjagaan kebersihan diri dan mencuci tangan telah disarankan sebagai salah satu cara yang paling berkesan untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Kami tidak dapat membayangkan kesan-kesan negatif jika pencemaran Sg Selangor ini berpanjangan sama dengan insiden pencemaran Sg Semenyih (hampir 1 minggu) yang berlaku pada 2019. Gangguan bekalan air dan membekalkan air melalui lori tangki dan tangki statik akan menjadikan situasi penyebaran Covid-19 tidak terkawal.

Kebanyakan pembuangan sisa secara haram berlaku semasa musim hujan disebabkan oleh faktor pencairan dan kini musim monsun perantaraan sedang berlaku di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. AWER menggesa Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan lagi jaminan bekalan air sehingga Malaysia berjaya mengawal penyebaran Covid-19. Cadangan berikut boleh diterbitkan sebagai perintah tambahan sehingga Covid-19 berada di bawah kawalan:

(i) Pemantauan pencemaran mesti dipertingkatkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terutamanya di lokasi pengambilan air mentah yang membekalkan air terawat ke kawasan yang mempunyai margin simpanan air terawat yang rendah. Sebagai agensi utama, JAS mesti bekerjasama dengan operator air setiap negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana mereka akan mengetahui lokasi sebegini.

(ii) Memastikan operator air sentiasa bersedia menangani kecemasan untuk memenuhi keperluan air terawat di hospital dan kemudahan perubatan dengan segera jika terdapat gangguan bekalan air yang tidak terjadual.

(iii) Hukuman berat (capital punishment) kepada mana-mana individu atau entiti yang mencemarkan air mentah dan menyebabkan gangguan bekalan air.

a. Di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA), hukuman penjara, denda dan hukuman mati disenaraikan sebagai beberapa hukuman berdasarkan kesan-kesan perbuatan pencemaran.

b. Kami juga menggesa MKN mengeluarkan perintah untuk membekukan aset-aset para pesalah (pengarah syarikat dan pemegang saham) dan juga aset-aset syarikat terlibat dengan serta-merta selepas pesalah dikesan oleh pihak berkuasa.

c. Disebabkan oleh situasi kecemasan semasa, gangguan bekalan air boleh memburukkan keadaan pesakit dan dalam senario kes terburuk, ini boleh meningkatkan jumlah pesakit yang dijangkiti dengan Covid-19 dengan serta-merta. Sekiranya keadaan ini (peningkatan pesakit Covid-19) berlaku disebabkan oleh gangguan bekalan air yang tidak terjadual akibat daripada pencemaran sumber air, AWER menyeru MKN menganggap ini sebagai sabotaj kepada keselamatan negara dan kes pembunuhan (sekiranya ia meningkatkan jumlah kematian pesakit Covid-19).

Golongan yang mencemar sumber air sebegini mengambil jalan mudah ketika negara berada di bawah tekanan yang besar untuk menyelamatkan nyawa. Kerajaan Persekutuan mesti memberi kepentingan sepenuhnya untuk mencegah berlakunya pencemaran air mentah. AWER berharap bersama-sama kita sebagai sebuah negara akan dapat mengharungi krisis ini dengan secepat mungkin.

Oleh:
Piarapakaran S.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)