Home Nasional Lima anggota cedera dibenar pulang, pemandu lori ditahan

Lima anggota cedera dibenar pulang, pemandu lori ditahan

KUALA LUMPUR – Lima anggota polis yang cedera dirempuh lori semasa menjalankan tugas Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 di Jalan Syed Putra di sini kira-kira pukul 12.45 pagi tadi dibenarkan pulang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, empat anggota telah dibenarkan pulang sebagai pesakit luar malam tadi selepas menjalani rawatan.

“Manakala Konstabel Mohd Afendi yang mengalami luka di muka, dahi dan patah tulang bahu kiri dibenarkan pulang pukul 10 pagi tadi.

“HKL membenarkan beliau balik berehat di rumah dan diberi cuti sakit 14 hari,” katanya hari ini.

Lori milik pemandu yang melanggar lima angota polis semasa bertugas di sekatan jalan raya ditahan untuk siasatan.

Empat mangsa lagi iaitu Inspektor Afifi Zulhusni, Koperal Khairul Nizam, Koperal Azizi dan Lans Koperal Wan Kamarul cedera ringan juga mendapat rawatan di hospital yang sama.

Pemandu lori berkenaan berusia 45 tahun yang berasal dari Taman Sri Muda, Shah Alam telah ditahan selepas hilang kawalan dan melanggar kesemua anggota yang terlibat dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 semalam.

Katanya siasatan diteruskan dibawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Pemandu lori berkenaan masih disiasat dan jika siasatan selesai akan dijamin polis, kalau tidak kami akan mendapatkan perintah reman untuk suspek hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette