Home Nasional Ada majikan paksa pekerja tandatangan surat cuti tanpa gaji

Ada majikan paksa pekerja tandatangan surat cuti tanpa gaji

Kita tidak benarkan perkara ini berlaku sama sekali sebaliknya semua bercuti dengan gaji berjalan seperti biasa.

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Majikan tidak dibenarkan sesekali  memberikan cuti tanpa gaji sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berikutan Covid19 berkuatkuasa sebaliknya gaji akan tetap berjalan seperti biasa.

Malah mana-mana majikan yang cuba melakukan tindakan paksaan dengan memberikan cuti tanpa gaji akan dikenakan tindakan tegas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berikrar kerajaan komited dalam memastikan gaji para pekerja yang telah diminta bercuti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dibayar seperti biasa.

“Saya sendiri ada dengar aduan yang mana ada segelintir majikan telah meminta pekerjanya untuk menandatangani surat, paksa mereka bercuti tanpa gaji.

“Kita tidak benarkan perkara ini berlaku sama sekali sebaliknya semua bercuti dengan gaji berjalan seperti biasa.

“Kita juga telah minta Kementerian Sumber Manusia untuk teliti dan ambil tindakan yang sepatutnya.

“Adalah tidak dibenarkan sesiapa ambil kesempatan ketika masa ini,” katanya dalam  sidang media jawatankuasa menteri-menteri berkaitan Covid-19 sebentar tadi.

Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan berlandaskan kepada tiga akta iaitu Akta Kerja 1955, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967 yang mewajibkan pekerja untuk berada di rumah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman pada Isnin mengumumkan hanya 14 sektor kritikal sahaja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Sektor itu merangkumi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba.

Bakinya seperti sektor penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. –MalaysiaGazette