Home Nasional Peserta tabligh masih belum tampil buat saringan

Peserta tabligh masih belum tampil buat saringan

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – ”Jangan sampai polis datang ke rumah untuk dibawa ke klinik,” demikian kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada para peserta tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari lalu.

Menurut Menteri Kanan itu, seramai 4,000 orang peserta masih belum tampil secara sukarela di hospital atau klinik kerajaan.

Katanya, polis telah pun mengenal pasti individu-individu berkenaan.

Artikel berkaitan: Polis jejaki peserta himpunan tabligh

Jemaah tabligh diminta segera tampil buat saringan Covid-19

Peserta tabligh baru pulang dari Malaysia positif Covid-19

Kematian kedua Covid-19 di Hospital Permai, mangsa hadir ijtimak tabligh

”Apa yang dibuat oleh kerajaan ini semata-mata untuk menjaga kepentingan diri peserta, keluarga dan masyarakat, justeru sekali lagi kita berharap kumpulan tabligh berkenaan yang belum membuat saringan datang segera tampil,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah berulang kali meminta peserta tabligh berkenaan melakukan saringan Covid-19 selepas Brunei mendedahkan kes pertama wabak itu daripada seorang individu yang baru balik daripada perhimpunan berkenaan

Sehingga hari ini, usaha masih berterusan untuk menjejaki saki baki jemaah yang menyertai ijtimak tabligh itu yang belum membuat saringan dan dipercayai lebih 10,000 orang telah menyertai perhimpunan tabligh itu.

Sejumlah 4,942 peserta menghadiri perhimpunan itu berjaya dikenal pasti sehingga 7 malam pada 17 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 3,069 peserta datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan dengan 137 individu dirujuk ke hospital.

Ismail Sabri menambah, adalah menjadi satu kesalahan apabila seseorang yang tahu dirinya sakit tetapi tidak mahu mendapatkan rawatan.

”Ini satu kesalahan di bawah undang-undang dan polis boleh ambil tindakan dengan menahan mereka jika ingkar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ahli2 tabligh mcm ni la yg merosak kn kumpulan Tabligh mereka sendiri. Buat org ramai tidak hormat kpd kumpulan ini. Mcmana nak berdakwah kalau diri sendiri tidak memikirkn, tidak menjaga keharmonian, keselamatan dan kententeraman org lain termasuk org Islam sendiri.

Comments are closed.