TERKINI : “Rasa Sayu” Tiada Solat Jumaat – Masjid Negara

Buat kali pertama semua masjid di seluruh negara menghentikan solat Jumaat hari ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu.

Arahan itu bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus koronavirus (Covid-19) sepanjang dua minggu ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Negara di sini mendapati suasana sepi dan hening tanpa kelibat jemaah kecuali mereka yang singgah menunaikan solat Zohor.

Malah aliran trafik juga lengang di hadapan Masjid Negara yang kebiasaan cukup sesak. Ia juga berbeza dengan senario biasa di mana masjid itu sebelum ini tidak putus-putus menerima pengunjung dalam dan luar negara selain terdapat gerai jualan yang menambah kemeriahannya.

Sementara itu, di pintu masuk utama masjid itu dapat dilihat papan tanda yang bertulis; ” Masjid Negara akan ditutup dan semua aktiviti serta program seperti Solat Berjemaah, Solat Jumaat, Ceramah, Kualiah, Lawatan Dalam dan Luar Negara dan sebagainya ditangguhkan.”