Beliau menegaskan bahawa peluang pekerjaan ini harus dibuka kepada rakyat Malaysia dan tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan tenaga kerja asing.
“Bagi meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia dalam pembinaan dan pengurusan projek InfraRakyat (projek bertunjangkan kepentingan rakyat) ECRL ini, satu program latihan peningkatan kemahiran berkaitan dengan pembinaan dan pengurusan ECRL akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, semoga ramai dapat menerima manfaat dalam arus transformasi ini,” katanya dalam catatan blog di laman www.najibrazak.com hari ini.
Terdahulu, hari ini, Najib menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara syarikat China Communications Constructions Company Limited China (CCCC) dan Malaysia Railway Link Sdn Bhd (MRL) bagi projek sambungan laluan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang, membabitkan laluan sejauh 88 kilometer.
Perdana menteri berkata perjanjian yang dimeterai di Beijing, China, itu adalah susulan kepada pengumuman pembinaan Fasa satu ECRL dari Wakaf Bharu ke Gombak pada November tahun lepas.
“Dengan itu, sukacita saya rumuskan bahawa inisiatif kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan kesalinghubungan antara Lembah Klang dengan Pantai Timur kini berada pada landasan yang tepat dan berjalan dengan lancar,” kata Najib.
Menurutnya, kerajaan akan terus memantau rapi projek itu selain melipatgandakan usaha agar ia dapat direalisasikan.
Najib berkata beliau secara peribadinya melihat projek InfraRakyat ECRL itu membawa makna besar kepada bukan sahaja sektor perdagangan malah memudahkan pengangkutan dan pengalihan barangan di Semenanjung Malaysia, sekaligus mengurangkan masa dan kos.
“Ia juga bakal memanfaatkan penduduk luar bandar dari segi peluang perniagaan serta kemudahan perjalanan,” katanya.
— BERNAMA