Home Nasional 10 juta bekalan penutup muka dari China

10 juta bekalan penutup muka dari China

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia yang mengalami kekurangan penutup mulut dan hidung akan cuba mendapatkan bekalan tersebut sebanyak 10 juta dari China.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kementerian Pengangkutan akan menyelaraskannya dengan kerjasama syarikat penerbangan.

Bekalan penutup mulut dan hidung itu akan dibawa masuk ke Malaysia secara beransur-ansur.

Menurutnya, keutamaan agihan penutup mulut dan hidung itu adalah kepada pekerja-pekerja di barisan hadapan ketika negara menangani penularan wabak Covid-19, seperti para doktor, jururawat, kakitangan imigresen, polis, tentera dan sebagainya.

”Kita akan serahkan kepada NADMA untuk menguruskannya dan jika ada lebihan, NADMA akan serah kepada Pharmaniaga untuk diagih-agihkan di pasaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Berhubung prosedur pemakaian penutup mulut dan hidung, Fadillah meminta orang ramai mengikut prosedur Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa mereka yang tidak terdedah atau sakit, tidak perlu memakai alat perlindungan itu.

”Jangan menyebarkan apa yang tidak berasas, kita ikutlah garis panduan yang dianjurkan oleh KKM,” tambahnya. – MalaysiaGazette