KUALA LUMPUR – Ranhill SAJ memberi diskaun sebanyak 50% bagi caj ke atas penggunaan air kepada pelanggan dalam golongan B40 untuk bulan Mac 2020.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam membantu orang ramai khususnya para pelanggan dalam menangani wabak Covid-19.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr. Nor Ifuan Md Nor berkata, keputusan adalah usaha membantu pelanggan dalam kumpulan pendapatan isi rumah terendah yang mewakili 40 peratus populasi (B40) berdepan dengan situasi pada masa ini.
Nor Ifuan Md Nor”Kebersihan diri penting bagi mencegah penularan Covid-19, manakala gangguan ekonomi berkemungkinan menjejaskan keupayaan mereka untuk memenuhi komitmen kewangan lain. Atas sebab inilah maka kami berpendapat bahawa tindakan ini adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan mereka dilindungi dalam masa kritikal seperti sekarang,” katanya di sini.
Sementara itu, bagi memastikan tiada pelanggan yang terputus bekalan air dalam tempoh wabak ini, Ranhill SAJ juga menangguhkan penguatkuasaan pemotongan air bagi bil tertunggak yang berkuat kuasa hari ini hingga 30 April 2020.
“Ini bermakna tiada pemotongan air akan dibuat ke atas bil yang tertunggak atau tak berbayar sepanjang tempoh ini,” jelas Nor Ifuan.
Para pelanggan yang baru sahaja mengalami pemotongan bekalan air dalam tempoh ini boleh menghubungi Pusat Maklumat Ranhill SAJ di talian 1-800-88-7474 untuk memohon semakan ke atas akaun mereka untuk penyambungan perkhidmatan. – MalaysiaGazette