Home Nasional Selangor laksana serta merta kawalan tambahan Covid-19

Selangor laksana serta merta kawalan tambahan Covid-19

Datuk Seri Amirudin Shari
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan mengenakan kawalan tambahan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawalan tambahan itu dilaksanakan susulan keingkaran segelintir orang ramai yang masih gagal mematuhi arahan kerajaan.

“Kerajaan negeri sangat memandang serius kegagalan segelintir masyarakat masih mengabaikan arahan duduk di rumah selain daripada keperluan kritikal.

“Ini memungkinkan dampak penularan wabak Covid-19 berpotensi berpanjangan hanya kerana ketidakpatuhan masyarakat yang sebetulnya boleh ditangani.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui koordinasi PBT-PBT seluruh Selangor akan menguatkuasakan tindakan-tindakan the ambahan pada kadar serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawalan tambahan itu ialah stesen-stesen minyak dibenarkan beroperasi 24 jam, namun kedai serbaneka hanya boleh beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

Selain itu, semua restoran, restoran hotel, restoran 24 jam hanya dibenarkan beroperasi secara pembelian bawa balik (take away) dan khidmat penghantaran (delivery) dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja.

Manakala kedai runcit dan serbaneka 24 jam pula, mereka hanya dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam.

Pasaraya pula boleh beroperasi terhad kepada bahagian peruncitan dan penjualan makanan sahaja sehingga 12.00 tengah malam.

Dalam pada itu, kata Amirudin, pasar awam dan pasar borong hanya dibenarkan beroperasi dari 5 pagi hingga 4 petang dengan pengawalan spesifik pihak-pihak berkuasa.

“Ia untuk memastikan kepadatan pengunjung dapat dikawal bagi menjamin penjarakkan sosial (social distancing) yang munasabah,” katanya.

Sementara itu katanya, kedai-kedai servis kenderaan dan kedai alat ganti kenderaan dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang.

Manakala trak saji (food truck), kedai dobi, dobi layan diri dan kedai cuci kereta tidak dibenarkan beroperasi.

“Arahan-arahan ini berkuatkuasa serta merta sehingga 31 Mac 2020 sebagaimana ditetapkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Selangor berharap agar pelaksanaan tindakan-tindakan ini dapat dihormati dan dipatuhi sewajarnya oleh seluruh rakyat negeri Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette