Home Nasional Kes Covid-19 dijangka meningkat, KP rayu tampil saring dan dedahkan maklumat

Kes Covid-19 dijangka meningkat, KP rayu tampil saring dan dedahkan maklumat

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan kes Covid-19 pada minggu hadapan.

Untuk itu beliau merayu untuk kesekian kalinya kepada kumpulan jemaah tabligh yang terlibat dalam perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling tampil melakukan saringan.

Beliau juga meminta individu-individu yang disaring mendedahkan sekiranya mereka terlibat dengan kluster tabligh selain memberitahu sama ada mereka pernah mengunjungi negara-negara yang dilanda wabak itu.

Katanya, tindakan sedemikian sebenarnya akan membantu melindungi petugas rawatan dan menjamin kekuatan kakitangan bagi mendepani wabak itu kelak.

“Jadi tolonglah kami tolong kamu. Tolong dedahkan sejarah perjalanan dan kontak. Sebenarnya ini amat berisiko buat kami.

“Yang gagal berbuat demikian dan merahsiakan maklumat penting ini, pihak kami boleh membuat laporan polis kerana itu sebenarnya akan membuatkan semua terdedah dengan penyakit berjangkit ini,” katanya sebentar tadi.

Hari ini sahaja seramai 19 orang kakitangan KKM dan 5 kakitangan swasta kini dijangkiti Covid-19 kerana terlibat dengan kluster jemaah tabligh.

“Maklumat kontak dan sejarah perjalanan ini sebenarnya sangat penting terutama bagi kes disyaki dari jemaah tabligh yang kini menjadi 60 peratus dari keseluruhan 1,183 kes dan berisiko menjangkiti lebih ramai.

“Kebanyakan tabligh ini sudah kembali ke negeri masing-masing dengan pada masa ini dari Perlis sampai ke Sabah sudah ada kes Covid-19,” tegasnya. –MalaysiaGazette