KUALA LUMPUR – Kakitangan syarikat penerbangan termasuk kru kabin yang terlibat dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara perlu diberi ‘elaun risiko yang tinggi.’
Elaun itu harus diberi bagi menampung risiko yang tinggi.
Bayaran RM600.00 melalui Skim Insurans Pekerja, Perkeso tidak mencukupi berbanding dengan risiko yang tinggi terpaksa dipikul oleh pekerja kru kabin, kata Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM).
Syarikat penerbangan juga dinasihati agar tidak lupa dengan tanggungjawab besar bagi memastikan keselamatan pekerja-pekerja terlibat.
”Konsep “business first, safety last” harus dielak,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini.
NUFAM turut melahirkan rasa kurang senang apabila kerajaan Malaysia mengerahkan pesawat-pesawat komersial membawa pulang rakyat luar negara terutama negara-negara yang mengalami wabak koronavirus.
Penggunaan pesawat komersial membawa pulang rakyat di luar negara adalah satu langkah yang kurang sihat kerana ia mencetuskan kebimbangan kepada kakitangan syarikat penerbangan.
Malah, tindakan ini dikhuatiri akan memberi risiko kepada para pekerja penerbangan yang terlibat dalam misi berkenaan.
Kebimbangan ini susulan ada kru kru kabin dan pekerja penerbangan terpaksa membantu penerbangan ke tempat tempat yang sudah berlaku jangkitan Covid-19.
Menurutnya, sewajarnya Majlis Tindakan Negara (MKN) menggunakan aset tentera untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,
Ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuatkuasakan.
”Setiap langkah untuk membendung Covid-19 harus diberi keutamaan tetapi kami nampak terdapat arahan lain dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan syarikat penerbangan setiap hari. Ini amat mengelirukan ramai pihak pekerja,” katanya. -MalaysiaGazette