KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sukarelawan Amal Wangsa Maju (Persuwa) melancarkan kempen misi Covid-19 sebagai langkah dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak ini.
Usaha tersebut dilakuan dengan mendapat kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Wangsa Maju,
Kempen yang diberi nama ‘Tabung Prihatin Sumbangan RM1’ dilaksanakan sebagai inisiatif Persuwa dan Bersatu dalam meringankan beban petugas-petugas yang menjadi penyelamat selain mengekang penularan jangkitan wabak Covid-19 khususnya di kawasan tersebut.
Menurut Setiausaha Agung Persuwa, Iswan Imran Ismail, kempen sumbangan serendah RM1 itu dilaksanakan untuk membeli keperluan asas seperti topeng penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan makanan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Wangsa Maju, Ridzal Ghazalee berkata, inisiatif itu juga bagi memastikan keselamatan penduduk kawasan berkenaan di saat negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang kini sudah menjadi pandemik di sebahagian besar negara di seluruh dunia.
Justeru katanya, penduduk di kawasan berkenaan yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu diminta melayari Facebook Persuwa dan Bersatu Bahagian Wangsa Maju. – MalaysiaGazette