KUALA LUMPUR – CIMB Investment Bank Berhad menerima tiga anugerah utama dalam majlis Anugerah Liga RAM kali-14 baru- baru ini.
Tiga anugerah itu ialah Anugerah Pengurus Utama 2016 (nilai program) dengan mendapat tempat pertama; Anugerah Pengurus Utama 2016 (jumlah terbitan) di tempat pertama bersama) dan Anugerah Liga Pasaran Modal Hutang Malaysia 2016 (nilai) di tempat pertama.
CIMB juga menerima anugerah khas merit bagi Anugerah Liga Pasaran Modal Hutang Malaysia, sekali gus mengiktiraf kepimpinannya dalam pasaran modal hutang.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Datuk Kong Sooi Lin berkata, institusi perbankan itu berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan.
“Kami akan terus memperkukuhkan kepakaran serta meningkatkan keupayaan dalaman CIMB untuk memenuhi keperluan pelanggan, seiring dengan fokus CIMB untuk meningkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh,” katanya.
Pada tahun lalu, CIMB mengekalkan kedudukan pertama dalam meja liga bon ringgit Malaysia Bloomberg buat tahun ke-12 berturut-turut dengan menguasai 26.6 peratus jumlah terbitan dalan nilai
tawaran.
CIMB turut mengungguli liga tempatan bon ASEAN 2016 untuk tahun ke-6 berturut-turut tahun sejak tahun 2011, dengan penguasaan pasaran sebanyak 13.2 peratus serta kawalan Sukuk Global Bloomberg sebanyak 12.8 peratus.
Kedudukan itu mengesahkan penguasaan CIMB dalam pasaran sukuk global selama tiga tahun berturut-turut dan mendahului jadual liga yang sama selama lapan daripada 10 yang lalu. – MalaysiaGazette