Home Nasional Sekatan jalan raya 24 jam di daerah Petaling Jaya tangani Covid-19

Sekatan jalan raya 24 jam di daerah Petaling Jaya tangani Covid-19

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal foto FAREEZ FADZIL, 22 MAC 2020

PETALING JAYA – Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya akan mengadakan sekatan jalan raya 24 jam sehari di beberapa lokasi penting sepanjang ‘Ops Covid19’.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, pihaknya turut mendapat bantuan 31 anggota pelbagai pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan itu.

Katanya, ketika ini pihaknya lebih fokus dengan sekatan jalan raya antaranya di Kampung Medan, Taman Datuk Harun, Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Damansara Puchong.

Strategi-strategi lain bagi membendung Covid-19, khasnya di daerah Petaling Jaya yang juga merupakan kawasan kedua tertinggi penularan Covid19 akan diumumkan kemudian, kata Nik Ezanee.

“Saya tidak boleh beritahu semuanya tetapi pada masa ini pastinya antara usaha utama kita adalah fokus dalam memastikan rata-rata penduduk duduk dalam rumah mengikut Perintah Kawalan Pergerakan diumum kerajaan.

“Kita juga akan menggunakan kaedah menasihat terlebih dahulu, beri mereka pemahamaan supaya faham mengapa perlu duduk rumah selain bahaya Covid-19 ini.

“Sememangnya ada juga yang melawan tapi kita masih lagi menggunakan pendekatan lembut dahulu, kita juga faham ini bukanlah sesuatu mudah untuk semua.

“Tapi saya boleh katakan, dari hari pertama sehinggalah malam tadi, keadaan sungguh berbeza. Pada awalnya ramai tidak faham tapi kini kurang sangat pergerakan orang awam di daerah PJ ini. Mereka sudah faham setelah beberapa hari, syukurlah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika mengadakan taklimat dengan ATM berhubung Ops Covid19 di pusat penempatan sementara pasukan itu di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Taman Datuk Harun, Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata, di samping Ops Covid, pihaknya juga tidak lupa dengan tugas hakiki menjaga keamanan serta membanteras jenayah.

“Itu tugas hakiki kita dan kami tidak ‘take chances’. Pagi tadi pun kami patahkan rancangan sekumpulan perompak pecah masuk rumah di sini.

“Memang sejak Covid-19, kejadian rompakan seperti ini banyak berlaku namun sentiasa dalam langkah berjaga-jaga sepanjang masa.

“Tapi saya boleh katakan kes jenayah juga sudah menurun secara mendadak tetapi kami tidak akan alpa, kami akan terus pelihara dan pastikan aktiviti-aktiviti haram serta perbuatan jenayah ini tidak berlaku di sini,” katanya. – MalaysiaGazette