KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk melaksanakan beberapa inisiatif bagi menyokong Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini termasuk mengenal pasti senarai barang-barang keperluan bagi membolehkan MITI mendapatkan pengecualian Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memastikan bekalan tidak terganggu.
Untuk mendapatkan kelulusan daripada MKN, MITI mewujudkan sistem dalam talian supaya syarikat-syarikat dapat mengemukakan permohonan untuk beroperasi semasa tempoh PKP dan juga mengaktifkan ‘war room‘ bagi memproses permohonan pada 24 jam.
FMM berkata, memandangkan jumlah permohonan besar, Sekretariat FMM dan agensi-agensi MITI yang lain
juga telah digerakkan untuk membantu kementerian itu mengesahkan permohonan dan mengendalikan pertanyaan mengenai permohonan yang dibuat.
Pada masa ini, bilangan permohonan semakin stabil dan kelulusan telah diberikan untuk pengeluaran barang keperluan kritikal seperti barangan makanan, peralatan perlindungan peribadi seperti sebagai penutup mulut dan hidung, pembasmi kuman, farmaseutikal dan peralatan perubatan.
MITI juga telah membentuk Pasukan Petugas MITI-FMM untuk memantau dan memastikan bekalan barang keperluan tidak terganggu.
Selain itu, FMM juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam memastikan bekalan barangan di pasar raya besar dan kedai mencukupi.
Tambahnya, kolaborasi yang kuat antara kerajaan dan sektor swasta, FMM yakin bahawa semua keperluan asas dan penting untuk keperluan rakyat mencukupi semasa tempoh pelaksanaan PKP yang akan berakhir pada 31 Mac ini. – MalaysiaGazette