Home Nasional 16,000 ujian Covid-19 mampu dilakukan mulai bulan depan

16,000 ujian Covid-19 mampu dilakukan mulai bulan depan

Wabak Covid-19 setakat ini telah mengorbankan 10 rakyat Malaysia setakat ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan mampu untuk menjalankan 16,000 ujian Covid-19 mulai bulan hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sasaran itu diletakkan KKM kerana terdapat makmal baharu yang dibina oleh kementerian itu dengan kerjasama beberapa pihak swasta dan hospital universiti di negara ini.

“Setakat hari ini, kita boleh jalankan 3,500 ujian Covid-19 sehari. Kita jangkakan minggu depan kita akan dapat jalankan 7,000 ujian sehari, dan pada bulan April kita jangka dapat melaksanakan 16,000 ujian Covid-19 sehari.

“Jika kita ada kemampuan untuk melaksanakan ujian itu, kita akan kesan dan uji dan bila disahkan kita akan asingkan dan beri rawatan,” jelas beliau dalam satu sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata setakat ini KKM sudah mempunyai 18 buah makmal saringan Covid-19 dan 5 lagi daripada pihak swasta, dua di Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta dua lagi di hospital universiti.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata ratusan alat bantuan pernafasan akan diperoleh KKM dalam masa terdekat.

Ia adalah daripada beberapa syarikat tempatan dan juga tempahan dari China.

“100 alat bantuan pernafasan dipinjam daripada syarikat tempatan dan 150 tempatan telah dibuat di China.

“Malah ada 450 tambahan kepada 945 alat bantuan pernafasan yang berada di ICU,” katanya.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, bagi mengurangkan beban pekerja barisan hadapan, KKM bercadang untuk menggaji semula pakar dan jururawat yang telah bersara.

Ia dilihat bagi menampung keperluan meruncing ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“Kita juga dalam rancangan untuk menggaji semua pegawai yang sudah bersara terutamanya jururawat dan pakar untuk kembali berkhidmat dan bantu kami.

“KKM juga ada buat hubungan dengan dua hospital swasta di mana kita boleh hantar beberapa kes kita ke sana,” katanya lagi. -MalaysiaGazette