BEAUFORTÂ – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang kecewa lalu meninggalkan perjuangan parti sebagai pemimpin yang tiada daya tahan dan kesabaran.
Ahmad Zahid berkata pemimpin berkenaan, sama ada di peringkat nasional atau negeri Sabah, akibat tiada daya tahan dan kesabaran akhirnya membuat keputusan yang salah kerana ketika itu mereka dalam keadaan marah, tertekan dan kecewa.
“Alhamdulillah, kita di dalam UMNO dan kita di dalam BN, biarpun kita diasak, biarpun kita ‘diterajang’, biarpun kita ‘disepak’ (dengan pelbagai tuduhan dan fitnah), kesabaran kita tetap bersama UMNO dan BN,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Bagandang, dekat sini, Ahad.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Anggota Parlimen Beafort Datuk Azizah Mohd Dun.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, anggota dan pemimpin UMNO dan BN yang mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi, kekal setia dengan parti dan meneruskan perjuangan mereka atas kesedaran bahawa hanya UMNO dan BN sahaja boleh membela rakyat.
“Kerana tidak ada parti lain yang boleh memperjuangkan nasib rakyat, tidak ada parti lain yang boleh memperjuangkan keperluan rakyat, tidak ada parti lain yang (diharapkan) rakyat boleh bergantung harap melainkan dengan UMNO dan parti-parti dalam komponen BN,” tegas Ahmad Zahid.
Menurut Ahmad Zahid, beliau membangkitkan keyakinannya terhadap keupayaan UMNO dan BN untuk membela rakyat bukan bertujuan untuk bernostalgia atau mengimbau kecemerlangan berkhidmat kepada rakyat sebaliknya ingin menyatakan komitmen parti itu untuk meneruskan perkhidmatan cemerlangnya.
“…kita berazam, sebagaimana dahulu, kalau kita mempunyai rekod pencapaian yang baik, kalau dahulu kita mempunyai kecemerlangan, azam kita, tekad kita (ialah) kita akan lakukan yang lebih baik untuk rakyat keseluruhannya,” katanya.
Menurutnya, berlainan dengan pemimpin UMNO dan BN, bekas pemimpin parti itu (UMNO) yang kecewa juga bernostalgia namun dengan ‘angan-angan untuk mengecat langit’ yang mustahil untuk dilakukan kerana langit itu akan biru sebaik sahaja awan berlalu dan kebiruan langit berkenaan adalah lambang BN. – MalaysiaGazette