KUALA LUMPUR: Penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac mengakui dia melakukan ujian saringan sendiri di rumah bagi mengesan wabak Covid-19.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG) semalam, Hans menunjukkan proses bagaimana dia menjalani pemeriksaan saringan virus itu.
Perkongsian itu bagaimanapun ditegur netizen yang mendakwa ujian hanya boleh dilakukan di hospital dan untuk mereka yang menunjukkan simptom Covid-19 sahaja.
Namun Hans menjelaskan tujuan dia melakukan ujian saringan bagi mengesan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan insan di sekelilingnya.
Hans, 48, memberitahu, dia terpanggil menjalani pemeriksaan demi pengesahan selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru, dua minggu lalu.
“Saya jalani ujian bukanlah saja-saja seperti disangka ramai. Dua minggu lalu, saya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan kerana masalah jangkitan kuman pada paru-paru.
“Saya dirawat selama lima hari. Walaupun di hospital, tapi kita tak boleh jamin penularan wabak ini tidak boleh berlaku.
“Sebagai langkah keselamatan diri dan mereka yang ada di sekeliling, saya jalani ujian saringan menggunakan khidmat pihak swasta yang bukan sahaja pakar malah bertauliah. Mereka boleh datang ke rumah, ‘ kata Hans yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kepada BH Online. – MalaysiaGazette