Home Sukan Dua minggu bukan cuti ‘bulan madu’ – Nafuzi

Dua minggu bukan cuti ‘bulan madu’ – Nafuzi

Terengganu FC

TERENGGANU – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya bahawa cuti dua minggu susulan Perintah Kawalan Pergerakan, bukan masa untuk mereka ‘bulan madu’.

Sebaliknya,dia meminta agar pemain dapat memanfaat sepenuhnya masa yang ada, dengan menjalani latihan kecergasan untuk memastikan mereka kekal cergas, sekiranya Liga Malaysia (Liga M) yang dihentikan seketika mulai 18 Mac lalu, disambung semula dalam masa terdekat.

Nafuzi dan barisan pegawai kecergasan telah meyediakan jadual serta modul latihan yang perlu diikuti pemain sepanjang tempoh ‘bertenang’ itu, yang dilakukan di rumah masing-masing.

“Sebagai jurulatih saya tidak boleh mengambil ringan dan membiarkan dua minggu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang latihan, dan panduan untuk pemain.

“Walaupun para pemain terpaksa melakukan latihan secara bersendirian, ia diharap dapat membantu mengekalkan kecergasan, serta menjadikan mereka lebih berdisplin walaupun tanpa pemerhatian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nafuzi berkata, untuk memastikan tiada pemain ‘curi tulang’, mereka diarahkan menghantar video latihan menerusi aplikasi WhatsApp, bagi membolehkan barisan kejurulatihan dan kecergasan membuat penilaian sebelum mengubahsuai latihan sekiranya perlu.

“Selain latihan pemain juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan dan pemakanan dengan betul dan berdisiplin,” katanya. – MalaysiaGazette