MADRID – Bapa Luka Jovic percaya anaknya harus menerima sebarang hukuman yang akan dijatuhkan atas kesalahan mengelak kuarantin 14 hari akibat Coronavirus 2019 (Covid-19) dan pulang ke Serbia.
Penyerang Real Madrid itu kini dikritik hebat kerana mengabaikan tempoh kuarantin tersebut yang diwajibkan bagi mengelak penularan itu.
Pemain itu dikecam selepas dilihat berparti bersama sambutan hari kelahiran teman wanitanya di Belgrade.
Kini bapa kepada pemain berusia 22 tahun itu mengakui anaknya perlu akur kepada sebarang hukuman sekiranya disabitkan kesalahannya.
Jovic kini disiasat kerana didakwa tidak mengikuti larangan mandatori selepas pulang dari negara yang dilanda virus pandemik itu.
Presiden Serbia, Aleksander Vucic juga mengesahkan bahawa Jovic antara dua pemain yang sedang disiasat kerana tidak menjalani kuarantin.
Namun pemain itu membidas segala kritikan tersebut sambil mendedahkan bahawa dia tidak dimaklumkan mengenai peraturan kuarantin selepas pulang ke Serbia.
“Luka menjalani dua ijian Covid yang mana kedua-duanya negatif…sebab itulah dia sangkakan dia boleh balik ke kampung halamannya di Serbia.
“Kini tindakan dia dilihat sebagai satu jenayah serius..sekiranya dia perlu masuk penjara, dia akan akur dengan hukuman itu.
“Saya akan menyokong sebarang keputusan hukum dia tetapi dia kini kuarantin diri di dalam rumah sejak pulang,” kata bapanya.-MalaysiaGazette