Home Nasional ATM guna dron, UAV buat pengawasan patuh PKP

ATM guna dron, UAV buat pengawasan patuh PKP

Dua lelaki rakyat Singapura telah diberkas kerana disyaki menggunakan pesawat tanpa pemandu atau dron untuk menyeludup masuk dadah ke republik itu dari Malaysia, demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu mempersoalkan mengenai lokasi kehadiran panggota tentera bersama Polis Diraja Malaysia dalam sekatan jalan raya bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan Covid-19.

Ini kerana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia untuk menggunakan teknologi dron dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) untuk membuat pengawasan PKP mengesan aktiviti orang ramai.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM bersedia untuk menggunakan teknologi itu dalam sehari dua lagi.

“Jika diperlukan kita bersedia menambah anggota kita dan juga kita akan menggunakan teknologi untuk membuat pengawasan seperti menggunakan dron dan juga UAV,” katanya dalam wawancara khas Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri RTM hari ini.

Tambah Affendi, perkara berkenaan telah dibincangkan dan mendapat bantuan daripada industri tempatan untuk dilaksanakan teknologi tersebut.

“Kita sudah ada (teknologi dron dan UAV), tapi jumlahnya mungkin perlu ditambahkan.

“Jadi, dengan menggunakan teknologi ini, ini boleh menambahbaikkan pengawasan kita seperti kita lihat di negara-negara macam China dia gunakan pengawasan dron untuk melihat di mana ada orang melanggar peraturan,” katanya lagi.

Ditanya bila pelaksanaan boleh dilakukan, ulas beliau, ATM kini dalam proses persediaan.

“Kemungkinan saya rasa dalam sehari dua ini kita boleh mulakanlah (dron dan UAV),” ujarnya.

Tegas beliau, ATM sedaya upaya untuk melihat bagaimana tugas mereka boleh menambah baik perkhidmatan kerana setiap golongan masyarakat mempunyai tanggungjawab sendiri menangani wabak maut itu.

“ATM akan melakukan apa yang dirasakan perlu untuk menambah baik tugas lebih efektif. Yang pentingnya ATM akan komited dan sentiasa melakukan tugs dengan penuh dedikasi untuk capai obtektif yang diamanahkan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.