PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 30 Mac ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Kewangan sedang meneliti langkah-langkah komprehensif bagi memastikan PRE dan Bantuan Rakyat mengambil kira kepentingan setiap kelompok masyarakat di negara ini.
“Sama ada anda peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang, kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, semuanya akan diberi perhatian oleh kerajaan.
“Kesemua langkah yang bakal saya umumkan nanti akan mengambil kira usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara kita dalam jangka masa sederhana.
“Saya berharap dengan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan, kehidupan saudara-saudari akan lebih terjamin dan ekonomi negara kita juga akan kekal kukuh.
“Dalam situasi krisis yang sedang melanda negara kita pada waktu ini, yang paling penting kita hendaklah sentiasa bermuafakat, berganding bahu dan cekal dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah yang kita hadapi,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini hari ini.
Hari ini, kerajaan telah mengumumkan empat inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghadapi impak akibat penularan wabak COVID-19.
Ini termasuk membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.
Selain itu peruntukan sebanyak RM600 juta diluluskan kepada KKM untuk membeli peralatan berkaitan rawatan COVID-19 dan melantik 2,000 pekerja kontrak baharu terutamanya jururawat.-MalaysiaGazette
Walaupun saya tiada EPF tapi ianya adalah Salah satu langkah prihatin pads rakyat.Tahniah PM.