Home Ekonomi Koperasi kredit diminta tangguh bayaran ansuran

Koperasi kredit diminta tangguh bayaran ansuran

KUALA LUMPUR – Koperasi-koperasi kredit yang menggunakan perkhidmatan Sistem Potongan Gaji Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) terutamanya 580 buah koperasi kredit dan perbankan komersial termasuk bank koperasi, menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

Angkasa berkata, pelaksanaan itu perlu dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh memandangkan individu yang terdiri daripada pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta yang menjadi pelanggan kepada koperasi atau bank koperasi mungkin terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding individu yang bekerja di sektor awam.

Angkasa menyambut baik keputusan oleh bank komersial termasuk bank koperasi yang akan melaksanakan moratorium sehingga enam bulan dan memohon supaya ianya diperluaskan juga kepada koperasi yang melanggan perkhidmatan kewangan mereka.

Katanya, Angkasa turut menyokong penuh inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menawarkan sistem moratorium kepada koperasi dengan menawarkan kemudahan penangguhan pembayaran pinjaman sehingga enam bulan.

Produk itu kebiasaannya melibatkan pembiayaan kepada koperasi yang menawarkan pembiayaan peribadi kepada anggota koperasi.

Ia adalah langkah yang amat baik supaya koperasi boleh menstrukturkan kembali pembiayaan peribadi terutamanya kepada anggota yang mendapat kesan secara langsung.

Mana-mana koperasi yang ingin memohon penangguhan bayaran balik pinjaman daripada bank, institusi kewangan atau Tabung Modal Pusingan (TMP) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga kepada mana-mana koperasi yang bercadang membenarkan penangguhan ansuran bayaran balik anggotanya boleh mengemukakan surat rasmi ke alamat emel yang berikut: [email protected] untuk tindakan selanjutnya oleh Angkasa.

Sejajar dengan prinsip koperasi yang ketujuh iaitu berprihatin terhadap masyarakat, Angkasa berharap cadangan yang dikemukakan dapat meringankan beban kewangan rakyat Malaysia yang terkesan terutamanya anggota koperasi di samping memberi tempoh kepada koperasi untuk mengurus kewangan dalam suasana ekonomi yang mencabar berikutan impak Covid-19. – MalaysiaGazette