KUALA LUMPUR – Banyak persoalan serta kebimbangan timbul dalam kalangan masyarakat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak Rabu lalu bagi mengekang penularan Covid-19,
Antaranya persoalan itu apakah akan terjadi dengan nasib gelandangan serta warga asing khasnya pendatang tanpa izin (PATI), lebih-lebih lagi kumpulan itu berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.
Banyak isu-isu gelandangan serta warga asing disiarkan MalaysiaGazette melalui tinjauan yang dilakukan dua tiga hari lalu bagi memberi gambaran sebenar apakah sedang berlaku.
Hari ini, wartawan MalaysiaGazette berkesempatan menyertai operasi ‘Ops Covid-19’ yang dilakukan Dewan Bandayara Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Kuala Lumpur dan hasil yang diperoleh daripada operasi itu ialah masih ramai lagi gelandangan dalam keadaan buntu ke mana arah tuju mereka.
Sekurang-kurangnya lebih daripada 50 gelandangan ditemui tidur di marata-rata tempat seperti kaki lima, lorong-lorong, tepi jalan, stesen bas dan sekitar Jalan Pudu, Jalan Petaling, Kompleks Pertama, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.
Sememangnya mereka hanya kaget melihat penguatkuasa, ada yang lari, ada juga duduk sehingga ditegur dan dihalau pergi tetapi masih samar-samar ke manakah hala tuju mereka.
Halid Kayub, 67, dari Kuala Selangor berkata, dia yang tidak berkeluarga sudah tidak mempunyai rumah lebih 40 tahun tidak mempunyai pendapatan tetap kecuali mengutip tin selama ini.
“Mana ada keluarga, mana ada rumah? Jadi saya hendak ke mana? Kamu hendak suruh saya ke mana? Saya sendiri tidak tahu. Tidak ada rumah.
“Saya bukan orang sakit, cumanya tidak ada rumah. Kutip-kutip tin. Kalau duduk dekat rumah transit, saya susah untuk cari makan. Cari duit beli rokok atau apa, memang tidak boleh.
“Jadi saya tidur sahaja tepi-tepi sini,” katanya dalam nada sayu sebelum melangkah pergi.
Satu pasangan India yang duduk di perhentian bas terkejut dengan kehadiran penguatkuasa lalu memberi pelbagai alasan bagi mengelak daripada ditangkap.
Wanita India itu memberitahu pasangannya untuk ‘membuat cerita’ menyatakan bahawa mereka sedang menunggu ahli keluarga datang menjemput mereka dan akan pulang sebentar lagi.
Tidak dapat dipastikan apakah sebenarnya masalah mereka tapi boleh diandaikan mereka sudah lama menetap di tepi-tepi jalan.
Dua orang lelaki Cina yang tidur beralaskan kotak-kotak juga diarakan pulang namun merfeka menyoal kembali ke mana harus pergi memandangkan tiada tempat dituju mahupun wang mencukupi dalam tangan.
Ah Keong berkata, mereka berasal dari Pahang dan telah dibuang kerja sejak dua minggu lepas.
“Sekarang tidak boleh balik, duit tiada. Bas tiada. Saya cuma ada mak, ayah yang tua sahaja. Mana hendak balik? Kerana itu tidur sini,” ujarnya.
Seorang gelandangan warga asing dipercayai pemegang kad kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dari Myanmar hampir menangis apabila diminta meninggalkan tempat dia baring berdekatan stesen bas.
Walaupun tidak begitu fasih bercakap, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang dikenali dengan nama Dil Mohamad memberitahu, dia bekerja berdekatan kawasan itu namun tidak ada tempat tinggal, menyebabkan dia tidur di kaki lima.
Dil yang mendapat kemudahan rawatan di hospital berkata, dia selesa tidur ‘dekat-dekat’ kawasan itu.
“Saya tahu pasal virus ini tapi apa saya boleh buat. Duit tiada, rumah tiada,” katanya. – MalaysiaGazette
Masih ada gelandangan berkeliaran, pekerja seks terus ‘berniaga’