MADRID – Semua pertandingan bola sepak di Sepanyol termasuk La Liga telah digantung tanpa tarikh khusus untuk disambung semula ketika kerajaan cuba mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) dan La Liga, mereka mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang sedang berjuang dan berusaha sebaik mungkin memberikan khidmat kepada penduduk Sepanyol.
“Kami juga mahu mengucapkan takziah sebagai wakil dari dunia bola sepak kepada semua keluarga mangsa yang telah kehilangan orang tersayang,” katanya kenyataan itu.
Sebelum ini La Liga mengumumkan akan menangguhkan pertandingan selama dua minggu sebelum Sepanyol mengumumkan keadaan darurat.
Bola sepak tidak akan dimulakan selagi kerajaan Sepanyol tidak menganggap keadaan selamat dan tidak mengancam kesihatan rakyat secara amnya.
Sehingga sebelum saingan dtangguhkan pada awal Mac lalu, Barcelona adalah pendahulu La Liga dengan kelebihan dua mata di depan Real Madrid.
La Liga mula menangguhkan saingan pada musim ini selepas seorang pemain bola keranjang yang berkongsi kemudahan dengan pemain Real Madrid disahkan positif Covid-19.
Pada Ahad lalu, kerajaan Sepanyol menyambung kembali tempoh darurat yang sepatutnya berakhir pada penghujung Mac kepada 11 April depan. – MalaysiaGazette