Home Seni Hidup ZeroHunger edar lebih 1,000 bungkusan bekalan makanan

ZeroHunger edar lebih 1,000 bungkusan bekalan makanan

KUALA LUMPUR – Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malakat Mall mengambil kesempatan ini untuk menyalurkan 1,000 bungkus bekalan barangan harian dan bahan asas makanan yang sedia untuk diagihkan kepada keluarga golongan B40.

Diberi nama Project ZeroHunger, ia adalah kerjasama dengan Raudhah Grocer bagi menyediakan barangan asas keperluan untuk keluarga yang berpendapatan kurang RM3,500.

Menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, ZeroHunger bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah serta ibu tunggal yang terputus sumber pendapatan dan tidak mampu membeli barangan keperluan asas sejak RMO berkuatkuasa.

“Ramai antara mereka yang berpendapatan harian, atau bergantung pada jualan secara kecil-kecilan dan terputus sumber pendapatan sejak RMO. Namun, demi mematuhi arahan mereka telah berlapar dan sama-sama berkurung didalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ZeroHunger yang mendapat kerjasama Kumpulan Brainy Bunch yang menyediakan perkhidmatan penghantaran telah menyusuri kawasan Puchong, Sepang, Cyberjaya dan sekitarnya.

Difahamkan mereka akan memperluaskan lagi kawasan penghantaran mengikut kemampuan mereka. – MalaysiaGazette