Home Nasional Senarai wajib ‘melekat’ di tangan suami

Senarai wajib ‘melekat’ di tangan suami

Mohd Faisal Abu Bakar, 45, menunjukkan senarai barangan pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Hero Market, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Mulai 18 Mac lalu, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang kini telah mengorbankan 15 nyawa.

Selain mengehadkan pergerakan rakyat Malaysia, PKP telah menetapkan hanya seorang atau ketua keluarga sahaja yang dibenarkan untuk membeli barang keperluan.

Berikutan peraturan itu, lebih ramai kaum lelaki kini mengunjungi pasar raya untuk membali barangan asas.

Tinjauan MalaysiaGazette di sebuah pasar raya di sini mendapati ramai kaum lelaki di situ beratur untuk membeli barangan keperluan begitu juga di kaunter-kaunter bayaran.

Rata-rata mereka tidak kelihatan canggung biar pun tanpa ditemani isteri namun senarai barangan keperluan yang dibekalkan ‘orang rumah’ sentiasa dirujuk seoah-olah melekat di tangan.

Ada juga yang berkali-kali membuat panggilan telefon bertanyakan tentang barangan yag hendak dibeli biar pun senarai telah berada dalam genggaman.

Mohd Zuhaifa Md Zain

Seorang penjawat awam Mohd Zuhaifa Md Zain, 27, berkata, ini bukan pertama kali beliau membeli barangan dapur namun keadaan sekarang agak berbeza kerana tidak ditemani isteri.

“Saya memang selalu beli barang dapur dan setiap kali keluar membeli-belah memang kami akan menyediakan senarai terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Hero Market Putrajaya.

Beliau kelihatan tidak kekok semasa membeli barangan sambil merujuk kepada senarai panjang barangan yang disediaka oleh isterinya.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam yang berusia 30-an, Syuhairul Amin Hassan yang juga merupakan penjawat awam juga memberitahu, sebelum PKP dilaksanakan pun beliau sememangnya selalu membeli barangan keperluan rumah.

Syuhairul Amin Hassan

Katanya, semenjak tempoh PKP dilaksanakan seminggu lalu, beliau telah tiga kali ke pasar raya untuk menambah bekalan makanan di rumah.

“Dah masuk tiga kali keluar beli barang dapur untuk PKP ini, setakat ini isteri ada yang beri senarai ada yang memang ikut apa yang kurang di rumah,” katanya.

Bekerja sendiri Md Herman Abd Wahad, 38, menjelaskan, sebelum PKP dikuatkuasakan beliau sering ke pasar raya tanpa isteri untuk memberi bekalan makanan untuk seisi keluarga.

Malah menurutnya, senarai yang dibawanya, bukan hanya ditulis oleh isteri bahkan beliau juga meneliti bekalan makanan dan barangan keperluan yang kurang di rumah yang perlu ditambah.

Kaum lelaki sedang beratur di kaunter pembayaran di Hero Market, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MAC 2020.

“Ini bukan pertama kali, sebelum ini banyak juga pergi beli seorang di dapur. Saya bawa senarai yang saya sediakan sendiri, ada barang yang saya nak ada yang isteri saya rasa perlu jadi kami tambahlah. Bukan isteri sahaja beri sepenuhnya senarai,” ujarnya.

Md Herman berkata, isterinya hanya mengolah barang yang tidak ada di pasaraya akibat kehabisan stok dalam tempoh PKP selepas pembelian panik yang berlaku beberapa hari lalu.

“Dalam keadaan begini tidaklah salah beli tapi ada barang yang tidak ada, jadi walaupun bukan jenama yang biasa kita beli tapi terpaksalah kita sesuaikan, isteri tidak marah terimalah dalam keadaan begini,” jelas beliau.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati ada pasar raya yang membuat pemeriksaan suhu badan pelanggan sebelum membenarkan mereka masuk ke dalam premis perniagaan.

Selain itu hanya 20 orang sahaja yang dibenarkan memasuki pasaraya dalam satu masa. – MalaysiaGazette