Home Sukan Covid-19: Guardiola derma €1 juta bantu sektor perubatan

Covid-19: Guardiola derma €1 juta bantu sektor perubatan

Pep Guardiola.

MADRID – Pep Guardiola mendermakan wang €1 juta atau £920,000 untuk memerangi pandemik koronavirus 2019 (Covid-19) di Sepanyol.

Pengurus Manchester City yang kini berada di kediamannya di Barcelona sedang berunding dengan peguamnya sejak beberapa hari lalu bagi mencari kaedah terbaik menggunakan wang yang didermakan itu.

Ia akan disalurkan kepada kempen yang dipromosikan oleh Kolej Perubatan Barcelona dan Yayasan Angel Soler Daniel.

Sepanyol merupakan salah sebuah negara paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 setakat ini.

Statistik rasmi menunjukkan 2,696 orang telah meninggal dunia di negara itu dan 40,000 terjejas akibat jangkitan virus tersebut.

Wang yang didermakan itu akan digunakan untuk membeli peralatan perubatan dan barang perlindungan untuk kakitangan dan pegawai hospital yang terlibat merawat pesakit.

Wilayah Catalan merupakan kawasan paling banyak merekodkan kes Covid-19

Bintang bola sepak, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo juga dilaporkan telah mendermakan €1 juta untuk kempen tersebut pada minggu ini.

Messi dikatakan telah mendermakan €1 juta untuk dua hospital iaitu masing-masing di Barcelona dan Argentina.

Ronaldo dan agennya, George Mendes mendermakan €1 juta untuk tiga Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Lisbon dan Porto. -MalaysiaGazette