Home Nasional Pasukan Petugas Khas PDRM jejaki jemaah tabligh Masjid Sri Petaling

Pasukan Petugas Khas PDRM jejaki jemaah tabligh Masjid Sri Petaling

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya KLIA, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan petugas untuk mengesan jemaah yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada akhir bulan lalu yang masih belum melakukan ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan  itu melibatkan pegawai polis di daerah dan negeri itu akan dapat mengenalpasti butiran dan identiti mereka yang terlibat.

“Lagipun jumlah mereka yang benar-benar hadir (Masjid Sri Petaling) kabur sehingga kini sebab ada pihak dakwa 14,000 orang peserta dan ada juga katakan 16,000 jemaah tabligh.

“Bagaimanapun hasil usaha dan siasatan task force kami dapat mengenal pasti butiran penuh dan identiti mereka semua yang kini mencecah tahap 10,000 orang berbanding laporan saya semalam hanya 8,000 orang yang mana sudah meningkat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia sempena Sambutan Hari Polis Ke-213 yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Abdul Hamid berkata, polis telah menghubungi dan menemubual kesemua jemaah itu yang mana mereka diminta cuba mengingati jemaah lain yang turut bersama di Masjid Sri Petaling.

Ujarnya, polis mempunyai nama dan alamat peserta dan mereka akan dihubungi untuk mendapatkan butiran lanjut bagi membolehkan perbandingan statistik dilakukan dengan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menentukan samada individu terlibat telah melakukan ujian saringan.

Abdul Hamid berkata, polis masih mencari lima peratus jemaah ijtimak tabligh Masjid Sri Petaling.

“Saya minta kerjasama masyarakat di luar tolong elak hina atau caci mereka (jemaah tabligh).

Pihak saya akan terus berkomunikasi dengan pucuk pimpinan tabligh dan kerjasama mereka amat baik untuk membantu kami memudahkan proses mengesan dan ujian saringan dan komited kemaskini jika terdapat perkembangan baharu mengenai jemaah.

Sementara itu, menurut Abdul Hamid, beliau terkejut ada jemaah tabligh yang dikuarantin melakukan solat jemaah dan KKM  sedang memujuk mereka untuk menghentikannya.

“Mereka degil dan masih amalkan solat berjemaah dalam 40 hingga 50 orang di wad kuarantin, tapi diarah menghentikannya,” – MalaysiaGazette