Home Seni Hidup Bagaimana nasib kucing, anjing terbiar kelaparan

Bagaimana nasib kucing, anjing terbiar kelaparan

Kelihatan seekor kucing jalanan mencari makanan yang terbiar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020

SHAH ALAM – Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan kita terpaksa mengubah gaya kehidupan secara serta-merta terutama apabila terpaksa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebenarnya, selain daripada manusia, haiwan seperti kucing dan anjing terbiar juga mengalami masalah meneruskan kelangsungan hidup ekoran perubahan yang berlaku.

Tiada lagi makanan ihsan yang mereka dapat daripada pemberian pelanggan-pelanggan restoran dan kedai makan seperti biasa apatah lagi saki baki makanan yang biasa ‘bersepah’ di longkang dan tepi jalan.

Ini kerana tidak ada lagi pelanggan makan seperti biasa dan rata-rata restoran hanya menyediakan makanan secara bungkus sahaja.

Malah ada yang mengambil langkah ke hadapan dengan menghentikan sementara operasi kedai makan sepanjang tempoh PKP.

Tinjauan MalaysiaGazette di sini mendapati kucing dan anjing liar masih ‘mengunjungi’ restoran yang biasa mereka mendapatkan makanan namun kali ini ia ditutup dan tiada lagi makanan percuma.

Rata-rata haiwan terbiar kelihatan lesu tidak bermaya, mungkin kerana kelaparan tidak dapat menjamah makanan seperti biasa, hendak-hendak pula dalam cuaca panas terik sekarang.

 

Kelihatan seekor kucing jalanan mencari makanan yang terbiar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020.
Kelihatan anjing jalanan mencari makanan yang terbiar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020.

Kucing dan ajing terbiar kelihatan banyak berkeliaran di kawasan sekitar rumah kedai Seksyen 7, 15 dan Seksyen 9 di Shah Alam mencari sisa-sisa makanan.

Malah sebaik sahaja kami sampai, sekumpulan kucing terbiar datang menyerbu kami – merayu mahu makanan.

Kelihatan seekor kucing jalanan mencari makanan yang terbiar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020

Semoga bukan sahaja manusia dilindungi oleh wabak Covid-19, malah juga haiwan terbiar juga tidak kebuluran hendaknya.

Justeru, menjadi tugas kita untuk terus ‘berkongsi’ rezeki dengan mahkluk tuhan itu lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang.

Apatah lagi apabila tempoh PKP yang sepatutnya tamat 31 Mac ini dilanjutkan sampai 14 April yang menyebabkan mungkin haiwan-haiwan terbiar ini kekurangan makanan.

Sebenarnya, usaha memastikan haiwan liar yang kelaparan ini diberi makan juga merupakan ujian kepada kita dan berharap lebih ramai individu dan NGO terlibat memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan.- MalaysiaGazette