Home Nasional Lanjut tempoh PKP harap dapat kurangkan kes positif Covid-19

Lanjut tempoh PKP harap dapat kurangkan kes positif Covid-19

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap laporan penyelidikan JP Morgan yang menjangka Malaysia akan mencapai kemuncak kes Covid-19 pada pertengahan April melibatkan kira-kira 6,300 kes tidak benar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Yang dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 14 April depan.

“Kalau kita lihat jangkaan JP Morgan, dalam pertengahan April mungkin kita akan dapat kes yang meningkat sehingga 6,000 kes tetapi kita telah laksanakan aktiviti awam dan juga tambah tempoh PKP dan kita harap dapat mengesan dan pastikan kes yang positif akan diasingkan dan akan diberi rawatan.

“Kita harapkan dengan tindakan kita, KKM harap dapat kurangkan kes positif dan tidak mencapai 6,000,” katanya dalam sidang media di pejabat KKM hari ini.

JP Morgan hari ini menjangka Malaysia akan berhadapan dengan peningkatan sehingga 6,300 kes susulan sekatan pergerakan baru-baru ini.

Laporan itu berkata strategi pengujian Malaysia yang agresif dengan menggunakan kaedah ‘ujian setiap juta kapita’ untuk Covid-19 mendahului negara ASEAN dan beberapa negara Eropah.

Kata JP Morgan, langkah itu akan membawa kepada jumlah jangkitan yang dilaporkan tinggi dan memberi keyakinan terhadap perkembangan kes dan kadar kematian yang sederhana.

Tambah Noor Hisham, KKM berusaha keras untuk melandaikan graf jangkitan positif Covid-19 kerana bilangan kes positif masih dapat ditampung dengan fasiliti KKM.

“Setakat ini kita telah sediakan 3,400 katil dan sasaran kita nak dapatkan 300 ICU dengan alat bantuan pernafasan dan sebagainya. Kita sudah meningkat kemampuan kita dengan menambahkan lagi institut latihan sebanyak 1,892 katil lagi.

“Keseluruhan bukan hanya 3,400 katil tapi pertambahan 5,292 katil dimana kita dapat tempatkan kes simptom tapi positif atau kes bergejala ringan tapi positif,” katanya lagi.

Tengahari tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Malah katanya, tempoh kuatkuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa. -MalaysiaGazette