Home Nasional Penggunaan ubat anti-viral ada kesan sampingan – KKM

Penggunaan ubat anti-viral ada kesan sampingan – KKM

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020

PUTRAJAYA – Cadangan beberapa pihak agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan ubat anti-viral tidak berasas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham.

Jelasnya, cadangan supaya KKM menggunakan ubat anti-viral, Favipiravir bagi merawat pesakit Covid-19 tidak dapat dilaksanakan kerana ubat berkenaan tidak didaftarkan dengan KKM.

“Bagaimanapun ia boleh digunakan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan namun kita perlu mengkajinya terlebih dahulu kerana ia mempunyai kesan sampingan,” katanya hari ini.

Pada minggu lalu, media Jepun melaporkan pihak berkuasa perubatan di China mendakwa ubat yang digunakan di negara itu untuk merawat jangkitan baru influenza yang kelihatan berkesan dalam pesakit positif Covid-19.

Laporan itu berkata favipiravir yang dibangunkan oleh anak syarikat Fujifilm telah menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam ujian klinikal di Wuhan dan Shenzhen yang melibatkan 340 pesakit.

Dalam pada itu, Noor Hisham mengesahkan video yang mendakwa pasukan barisan hadapan KKM yang bekerja di hospital dan klinik kerajaan penat ekoran bekerja terlalu lama adalah benar.

Jelasnya, ia ekoran daripada keadaan yang memaksa mereka bekerja tanpa henti selama tiga bulan sejak virus Covid-19 melanda negara tahun lalu.

“Betul (mengenai kandungan video yang tular) di mana frontliner kita memang telah bekerja tanpa henti lebih kurang tiga bulan termasuk di KKM sendiri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Oleh yang demikan, Noor Hisham berkata, KKM telah mengarahkan 3,400 petugas latihan dalam perkhidmatan untuk membantu pasukan berkenaan di hospital dan klinik kerajaan.

“Di mana 2,500 daripadanya adalah jururawat yang berpengalaman dan sedang menjalankan latihan dalam perkhidmatan untuk membantu di klinik dan hospital.

“Jururawat yang telah bersara juga kita telah ada pendaftaran lebih kurang 3,000 orang. Sekarang kita sedang mengenalpasti kepakaran jururawat itu yang ada di ICU, di dewan bedah dan sebagainya.

“Kita akan gunakan kepakaran mereka untuk penempatan samada di klinik ataupun hospital KKM,” katanya lagi.

Baru-baru ini satu video berdurasi empat minit 35 saat dipercayai luahan doktor menjadi tular di media sosial hingga menyentuh hati netizen.

Video bertajuk ‘Dengar doktor menangis terlalu penat’ antara luahan rasa situasi barisan hadapan KKM yang kini ‘berperang’ dengan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette