Home Dunia Bayi dikeluarkan daripada wanita hamil mangsa kemalangan

Bayi dikeluarkan daripada wanita hamil mangsa kemalangan

Goh Chieh Ting

SINGAPURA – Para doktor berjaya mengeluarkan bayi pramatang daripada perut ibunya yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jurong West, Sabtu lalu.

Wanita berkenaan, Goh Chieh Ting, 25, yang sedang mengandung enam bulan dirempuh sebuah lori ketika melintas jalan, menurut laporan Shin Min Daily News.

Beliau yang dikejarkan ke hospital disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, para doktor segera melakukan pembedahan bagi menyelamatkan bayinya. Anak wanita itu kini dalam keadaan stabil.

Kemalangan itu berlaku pada pukul 8 pagi Sabtu lalu di Jurong West Avenue 1 yang menghala ke Corporation Road, dekat Blok 456.

Saksi-saksi memberitahu, ketika kejadian Goh sedang memimpin tangan seorang wanita, yang dipercayai ibu mertuanya untuk melintas jalan.

Tiba-tiba sebuah lori yang keluar dari tempat parkir dan memusing ke kanan.

Walaupun pemandu lori cuba brek tetapi gagal lalu merempuh Goh.

Seorang pekerja pembersihan, Yi Fan, 22 memberitahu, wanita itu terbaring di atas kaki wanita lain dan sebelah kanan tubuhnya penuh darah.

Goh berasal dari Johor dan memegang permit lawatan. Beliau menetap dengan lokasi kemalangan bersama keluarga mertuanya, menurut akhbar Shin Min.

Semasa kejadian, mereka baharu sahaja sarapan pagi dan melintas jalan untuk ke pasar.

Pemandu lori yang berusia 46 tahun telah ditahan kerana menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette