Home Nasional Penempatan gelandangan diubahsuai elak risiko jangkitan di tempat baharu – Annuar

Penempatan gelandangan diubahsuai elak risiko jangkitan di tempat baharu – Annuar

Tan Sri Annuar Musa. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Program untuk memindahkan golongan gelandangan di di ibu kota ke satu pusat yang telah dikenalpasti selamat dan terlindung terpaksa ditangguhkan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, operasi yang sepatutnya dilaksanakan malam Rabu semalam terpaksa ditunda kerana menyedari risiko yang bakal dihadapi gelandangan di tempat baharu nanti.

“Atas nasihat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan kita kini mahu mengubahsuai sedikit tempat yang akan diduduki gelandangan nanti supaya lebih teratur dan selamat serta bebas dari risiko infeksi (jangkitan).

“Maka satu mesyarat akan diadakan untuk kita menyusun proses pemindahan dijalankan lebih rapi, tersusun dan teratur supaya tanpa risiko gelandangan dapat dipindahkan ke premis baharu,” katanya dalam sidang media secara langsung di laman Faceboook hari ini.

Menurut Annuar, proses penempatan gelandangan di tempat terkawal itu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Katanya, beliau juga bersetuju dengan cadangan Datuk Bandar (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) bahawa apabila bangunan tidak cukup untuk menempatkan gelandangan, kerajaan akan menggunakan kabin-kabin sementara milik DBK.

“Langkah ini supaya dapat memberi pemeriksaan kesihatan khususnya saringan Covid-19 dan menjamin bantuan kebajikan mereka buat sementara waktu.

“Malah sebelum merancang langkah jangka panjang atasi gelandangan di ibu negara, satu tindakan drastik bersepadu yang boleh menyelesaikan masalah gelandangan di KL secara menyeluruh dan selama-lamanya sementara kesejahteraan mereka juga terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette