Home Ekonomi Belian pelabur asing RM576.6j di bursa minggu lalu

Belian pelabur asing RM576.6j di bursa minggu lalu


KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus mengekalkan minat ke atas ekuiti tempatan dan menjadi pembeli bersih untuk minggu ke-14 dengan jumlah belian sebanyak RM576.6 juta di Bursa Malaysia.

MIDF Research dalam laporan mingguannya berkata, Bursa Malaysia mendapat manfaat daripada aliran besar ke pasaran baru muncul Asia Tenggara terutama di Jakarta pada minggu lalu.

Firma penyelidikan itu berkata, belian asing merekodkan tertinggi pada hari Khamis ketika pasaran global dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah.

Momentum belian kukuh oleh pelabur asing itu juga seiring dengan kenaikan KLCI sebanyak 8.83 mata pada hari yang sama.

Untuk minggu ketiga berturut-turut, Bursa Malaysia beroperasi selama empat hari.

Katanya, penyertaan pelabur asing kekal tinggi di bursa walaupun ia sedikit terjejas oleh penutupan pasaran pada hari Rabu.

Menurut firma penyelidikan itu, dagangan purata harian pelabur asing merosot sebanyak 2.0 peratus kepada RM994.9 juta, namun ia masih ditahap baik.

Firma penyelidikan itu berkata, peruncit adalah penjual bersih marginal pada minggu lepas.

Ia menjelaskan bahawa penyertaan runcit kekal melepasi RM1 bilion pada RM1.18 bilion, walaupun 7.9 peratus lebih rendah berbanding minggu sebelumnya.

MIDF berkata, ia adalah minggu kesembilan ini penyertaan runcit tahun telah melebihi paras RM1 bilion. – MalaysiaGazette