KUALA LUMPUR – Orang ramai yang membeli keperluan di Pasar Chow Kit di sini nampaknya masih tidak mengendahkan peraturan yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rata-ratanya dilihat masih tidak mengambil berat arahan PKP terutama penjarakkan sosial walaupun angka kematian wabak pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.
Pagi ini, tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit di Jalan Raja Bot di sini mendapati hampir 800 orang datang membeli keperluan masing-masing sama seperti hari-hari biasa.
MalaysiaGazette yang melakukan tinjauan bersama-sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah terkejut melihat bilangan orang yang beratur panjang untuk masuk ke pasar.
Malah apa yang lebih mengecewakannya, masih ada dalam kalangan mereka tidak memakai topeng muka dan tidak membawa cecair pembasmi kuman.
Bagaimanapun selepas melihat kehadiran pasukan polis barulah mereka kelam kabut dan mula mempraktikkan penjarakkan sosial.
Lebih-lebih lagi pasukan polis yang datang memberi amaran melalui pembesar suara yang keras dan garang.
Menurut Mohd. Fahmi (gambar atas), pihaknya sudah tidak mempunyai pilihan lain lagi selain daripada bertindak lebih tegas berbanding sebelum ini kerana mendapati masih lagi ramai ingkar arahan.
“Mereka tidak kisah, tidak ambil berat. Ini bukanlah hari pertama kami buat operasi sebaliknya sejak dua tiga hari lepas kami sudah lakukan tinjauan sebelum operasi ketat pada hari ini.
“Sejak pukul 6 pagi tadi sehinggalah hampir 10 pagi ini, orang ramai masih datang berpusu-pusu. Sudahlah begitu, mereka juga tidak pakai mask (topeng muka), kebersihan dan jarak juga tidak begitu diberikan perhatian.
“Kita terpaksalah bertindak dengan lebih tegas. Arahan PKP ini perlu tindakan lebih tegas dan berkesan. Kita hanya berikan mereka masa tidak kurang daripada 20 minit setiap seorang (membeli dalam pasar).
“Malah kumpulan ini kita pecahkan kepada 30 hingga 40 orang untuk pergi beli barang keperluan mereka, kemudian sebelum tempoh tamat, mereka perlu keluar. Jika tidak, kita akan mengarahkan mereka (keluar).
“Kita jangka akan ada lebih ramai sehingga jam 2 petang ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelas Mohd Fahmi lagi, seandainya penduduk terus ingkar dan ambil mudah, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas.
“Buat masa ini, kita masih lagi beri mereka nasihat dan sedikit penerangan. Sepatutnya sehingga tamat PKP ini, duduk sahaja di rumah jika tiada keperluan terdesak. Itu sahaja,” tegasnya.
Dalam pada itu, ada juga dalam kalangan orang ramai mulai kesal apabila terpaksa beratur lama dan menerima arahan keras daripada polis semasa mahu pergi ke pasar berkenaan.
“Saya serik, saya tidak akan keluarlah selepas ini. Lepas tengok polis dan arahan tegas, saya tidak mahu keluar lagi. Kuarantin dua minggu ini baik duduk sahaja di rumah, baik juga supaya kita dapat bendung penyakit ini,” kata seorang pelanggan lelaki di pasar yang sama.
Manakala seorang wanita berkata, dirinya bersetuju dengan tindakan kerajaan melakukan PKP ini demi kebaikan semua rakyat di negara ini.
“Saya beli barang sekejap sahaja, itupun kerana kehabisan daging di rumah. Memang bagus kerajaan buat begini, polis pun tegas. Baguslah,” ujarnya. –MalaysiaGazette
Kawalan di Pasar Chow Kit diperketatkan, 15 minit setiap orang