Home Nasional Operator UAS, dron wajib dalam kebenaran CAAM

Operator UAS, dron wajib dalam kebenaran CAAM

KUALA LUMPUR – Semua operator sistem kapal udara tanpa pemandu (UAS)/dron perlu mematuhi Peraturan 140-144, yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).

Semua operator dron dikehendaki untuk memperoleh kebenaran daripada pihak CAAM terlebih dahulu sebelum menerbangkan dron walaupun dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini.

Peraturan-peraturan tersebut adalah terpakai kepada semua operator UAS/dron termasuk untuk tujuan pengawasan, penyiaran, komersial, rekreasi dan lain-lain aktiviti.

CAAM menegaskan bahawa mana-mana pengoperasian UAS/dron yang dijalankan tanpa kebenaran boleh membahayakan pengguna ruang udara yang lain seperti pesawat dan memudaratkan keselamatan orang awam.

Justeru itu, CAAM menyarankan supaya operator dron untuk mengemukakan permohonan kebenaran untuk mengoperasikan UAS/dron kepada CAAM dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun melalui laman web rasmi CAAM.

Maklumat lanjut mengenai prosedur dan keperluan permohonan boleh dirujuk melalui pautan seperti berikut http://www.caam.gov.my/sectors-divisions/flight-operations/unmanned-aircraft-system-uas/

Mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang menyalahi peraturan dengan mengoperasi UAS/dron tanpa kebenaran CAAM akan dikenakan penalti dan/atau sabitan.

Penalti termasuk denda minimum sebanyak RM50,000 dan/atau penjara selama 3 tahun untuk individu atau denda tidak melebihi RM100,000 untuk pertubuhan perbadanan, jika didapati bersalah.

Kebenaran untuk Pengangkutan Bahan Berbahaya Melalui Udara CAAM juga ingin menasihatkan bahawa pengangkutan bahan berbahaya (contohnya, sampel biologikal) melalui udara adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan 132 dan 133, MCAR 2016 serta memerlukan operator untuk memohon permit pembawaan bahan berbahaya.

Menurutnya, pengangkutan bahan berbahaya tanpa penilaian yang menyeluruh oleh CAAM boleh mengakibatkan kemalangan dan menjejaskan keselamatan awam.

Mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang menyalahi peraturan dengan menghantar atau membawa bahan berbahaya melalui udara tanpa kebenaran CAAM akan dikenakan penalti dan/atau sabitan. Penalti termasuk denda minimum sebanyak RM50,000 dan/atau penjara selama 3 tahun untuk individu atau denda tidak melebihi RM100,000
untuk pertubuhan perbadanan, jika didapati bersalah. – MalaysiaGazette