KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru semua penjawat awam menyumbang kepada Tabung COVID-19 NADMA sama ada secara individua atau melalui agensi, ketua jabatan, kesatuan gabungan atau CUEPACS sendiri.
Buat permulaan, CUEPACS menyumbang sejumlah RM20,000 kepada tabung tersebut hasil sumbangan kesatuan gabungannya.
“Adalah disyorkan sumbangan Penjawat Awam ke Tabung Prihatin Convid 19 dibuat melalui pembayaran gaji secara sukarela iaitu melalui gaji bulan April 2020 dan gaji bulan Mei 2020.
“Kami mencadangkan nilai sumbangan adalah sebanyak RM10 kepada kumpulan Pelaksana 1 dan 2 dan RM20 kepada kumpulan P&P dan ke atas.
“Bagi Kumpulan Pengurusan tertinggi terpulang kepada keiklasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, CUEPACS meminta Ketua Setiausaha Negara supaya cadangan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh ke atas semua anggota perkhidmatan persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
“Sumbangan daripada penjawat awam bukanlah satu paksaan tetapi lebih kepada tanda solidariti serta membantu rakan-rakan yang sedang memberikan perkhidmatan di barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, tentera dan sebagainya.
“Sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada rakyat dan rakan penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette