KUALA LUMPUR – Gara-gara degil dan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 11 individu yang berjogging di Mount Kiara, di sini ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua individu itu ditahan antara jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi ketika polis melakukan rondaan dan pemeriksaan penguatkuasaan PKP di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara.
“Polis telah menahan seramai 11 orang lelaki yang terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga United Kingdom, seorang lelaki warga Amerika Syarikat, empat lelaki warga Jepun, dua lelaki warga Korea dan seorang lelaki warga India.
“Kesemua mereka ditahan semasa sedang jogging dan didapati telah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan. Mereka yang ditahan juga tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan oleh pihak polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi Seksyen 186 Kanun Keseksaan, mereka yang ditahan itu boleh dipenjara melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, ujar beliau.
“Kesemua individu tersebut telah dirakam percakapan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan telah diberi jamin polis setelah selesai proses siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
“Polis Kuala Lumpur mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran. -MalaysiaGazette
Bebal jugak dorang ni ehh…. Jatuh hukum maksimum..