Home Nasional Kekal ceria walaupun sekeluarga positif COVID-19

Kekal ceria walaupun sekeluarga positif COVID-19

Lima beradik yang cekal berhadapan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Meskipun sekeluarga positif COVID-19, namun lima beradik yang kini dikuarantin di Hospital Teluk Intan, Perak, terus ceria dan tidak berputus asa.

Sejak semalam, video kiriman Erika Syamim Samsu Ambia, 17, tular di laman Twitter yang menyaksikan beliau dan adik-beradiknya merakamkan video TikTok.

“Even though positive COVID, kami as a family will go through this together. Plus, health condition kita orang okay je. Here’s a Tik Tok we made to entertain ourselves kat hospital tu,” tulisnya.

(Walaupun positif COVID, kami sekeluarga bersama-sama akan melalui detik ini. Tahap kesihatan kami okay aje. Inilah Tik Tok yang kami buat untuk menghibur diri kami di hospital)

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata di waktu-waktu mencabar ini, mereka perlu menguatkan semangat dan sentiasa berdoa.

Dalam perbualan dengan Bernama menerusi Twitter, beliau berkata, bapanya Dr Samsu Ambia Ismail, Pakar dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Teluk Intan adalah yang pertama disahkan positif COVID-19 dalam keluarga itu dan telah dikuarantin di hospital berkenaan sejak enam hari lepas.

Erika Syamim bersama ibu dan empat adiknya yang berusia antara 15 dan lapan tahun dikuarantin sehari kemudian.

“Kami cuma melawan virus itu menggunakan antibodi sendiri dan dikuarantin 14 hari dengan harapan virus itu akan mati selepas tempoh itu,” katanya.

Ketika berita ini ditulis, kiriman video Erika Syamim di Twitter itu telah mendapat lebih 208,000 tontonan,14,800 retweet dan 19,000 likes.

Menjawab soalan seorang netizen tentang gejala yang dialami, beliau berkata bapanya mengalami demam panas, batuk serta sukar bernafas, manakala ahli keluarga yang lain hanya mengalami demam.

Perkongsian gadis itu dihujani kata-kata semangat dan doa daripada netizen yang mengharapkan keluarga itu tabah dan sembuh daripada penyakit berkenaan.

Erika Syamim turut berkongsi nasihat kepada pesakit COVID-19 yang lain khususnya yang beragama Islam untuk memperbanyakkan solat sunat dan membaca al-Quran.

“Kalau duduk di wad tu jangalah ‘lemau’ je. Kena ceria, insya-Allah boleh lawan penyakit itu juga,” katanya.

— BERNAMA