LONDON – Real Madrid dipercayai masih berminat dengan pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, menurut laporan Express.
Pengendali gergasi La Liga itu, Zidane dikatakan berhasrat untuk menandatangani pemain antarabangsa Perancis itu bagi memperkuatkan lagi skuad semasa mereka.
Namun bukan mudah mendapatkan Pogba kerana sebelum ini Real telah mencuba beberapa kali.
United pula mendedahkan tidak ada sebab untuk mereka menjual Pogba dan sebab itulah mereka cenderung untuk mengenakan harga tinggi bagi menghalang kelab luar untuk mendapatkan pemain ini.
Meskipun begitu khabar angin mengenai pemain ini berterusan apabila pada masa ini Madrid dikatakan akan memberi tawaran luar biasa buat United di mana dalam perjanjian itu terdapat nama Federico Valverde dalam usaha mereka untuk pemain ini.
United juga memang berhasrat untuk mengekalkan Pogba tetapi keadaan itu boleh berubah jika pemain tengah itu terus didekati oleh pasukan lain.
Selain itu, mempunyai pemain seperti Pogba cenderung melahirkan banyak masalah dalam pasukan terutama masalah di luar padang.
Sumber lain menyatakan United bersedia melepaskan Pogba, tetapi mereka mendedahkan ingin membawa Valverde sebagai pengganti.
Kelab ini sedar pemain muda yang berbakat seperti Valverde lebih mudah menyesuaikan diri dengan pasukan yang rata-rata dibarisi pemain muda.
Lebih-lebih lagi, beberapa bulan terakhir Valverde telah berubah menjadi salah satu pemain paling penting di Madrid. – MalaysiaGazette