KUALA LUMPUR – Masih banyak lagi kawasan-kawasan di ibu kota secara amnya telah menunjukkan trend peningkatan wabak Covid-19 sejak beberapa hari lepas.
Malah beberapa kawasan seperti Masjid India, Kepong, Bukit Damansara, Sri Petaling, Lembah Pantai juga tempat-tempat lain sudah dikenalpasti sebagai zon merah dan kuning pada masa kini.
Bagaimanapun tidak disebutkan secara terperinci lokasi-lokasi ini kepada umum.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan terpaksa mengetatkan lagi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lebih tegas sebelum ini.
“Kita masih belum menang peperangan ini, jangkitan serta peningkatan kes masih lagi meningkat malah ada banyak lokasi di Kuala Lumpur sahaja sudah menunjukan zon merah dan kuning.
“Kita akan perketatkan dan melaksanakan sekatan jalan raya dengan lebih meluas lagi terutamanya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai berbahaya kerana peningkatan kes positif Covid-19.
“Juga telah saya arahkan pembersihan kawasan sepanjang hari secara intensif, semburan menggunakan dron untuk yang sukar untuk kita capai. Semua ini akan dilakukan dengan lebih kerap, kita gunakan semua aset kita ada.
“Kita sememangnya perlu memerangi wabak ini seboleh yang mungkin, lihatlah sendiri apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan juga Itali yang jumlah kes serta kematian Covid-19 sudah mengatasi China,” katanya dalam sidang media khas secara siaran langsung hari ini.
Annuar juga memberitahu kumpulan gelandangan sekitar 1,000 orang di sekitar Kuala Lumpur yang tidak mempunyai tempat tinggal, berpeleseran tanpa arah tujuan telah dan akan di tempatkan di beberapa lokasi khas.
“Kita akan lindungi mereka sepanjang tempoh PKP ini, kita sudah kenalpasti dan tempatkan mereka ketika ini. Ini adalah tanggungjawab kita bagi memastikan kumpulan tidak terjangkit atau mengjangkiti yang lain,” ujarnya. –MalaysiaGazette