Home Nasional Tolonglah, jangan ambil acuh tak acuh Covid-19

Tolonglah, jangan ambil acuh tak acuh Covid-19

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Wabak Covid-19 yang ketika ini sedang menggegarkan seluruh dunia dengan ribuan kematian saban hari dan belum ada penawarnya tidak seharusnya di pandang remeh.

Rakyat di negara ini khususnya sepatutnya peka kerana hampir setiap hari di buat pengumuman berita kes pandemik yang tidak menunjukan sebarang penurunan sebaliknya lebih banyak peningkatan.

Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas dan bersambung sehingga 14 April depan, ia sedikit sebanyak telah memberikan impak walaupun masih ada lagi segelintir orang yang masih berdegil dan ingkar arahan.

Malah menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, beliau masih lagi menerima laporan dari pihak polis bilangan kereta di kawasan ibukota yang masih lagi bertambah dari hari ke sehari walaupun sekatan telah dilakukan.

“Rakyat juga dikatakan memberikan pelbagai alasan untuk keluar walaupun sebenarnya ini adalah masa untuk semua duduk rumah, jaga jarak dan sentiasa berhati-hati. Ada laporan mengatakan segelintir keluar bersiar-siar dengan anak-anak kecil, duduk berkelompok, melepak dan sebagainya.

“PKP ini sebenarnya untuk kebaikan semua, ianya bukan sesuatu yang boleh dianggap acuh tidak acuh. Perlu ambil pengajaran bagaimana China dapat mengawal penularan wabak ini ke tempat-tempat lain selain Wuhan dan Hubei.

“Di sini walaupun keadaan masih lagi boleh dianggap terkawal namun pada masa sama, kita juga tidak boleh begitu berpuas hati kerana peningkatan kes masih lagi berlaku. Kementerian Kesihatan masih lagi berhempas pulas ketika ini.

“Jangan anda semua lupa, baru-baru ini Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ada memberikan bayangan berlakunya sesuatu yang dikenali sebagai tsunami infection.

“Ramai dalam kalangan kita yang telah juga bercuti di luar negara ketika musim cuti sekolah lepas. Bayangkan jika berlakunya jangkitan, jadi tolonglah dengar apa arahan serta garis panduan KKM, kerajaan. Kita semua perlu bersatu melawan wabak pandemik ini habis-habisan,” katanya dalam sidang media khas secara dalam talian hari ini.

Jelas Annuar, ada pihak yang telah memohon supaya pasar tani di buka kembali bagi menyenangkan penduduk sekitar dalam mendapatkan barangan harian mereka.

“Kalau pergi pasar, mesti semuanya anda akan pegang sebelum beli, saya sendiri akan belek-belek semua, barulah beli. Jadi, apa yang akan jadi sekiranya ada dalam kalangan positif Covid-19? Apa sahaja yang dipegangnya mungkin akan berjangkit kepada anda.

“Kalau ada caranya, tidak apa seperti penjual sudah siap-siap membungkus dan meletak harga, kita terus beli dan balik tanpa belek-belek.

“Sebenarnya saya sendiri telah di tegur berkali-kali ketika bermesyuarat tentang jarak social distancing selain daripada kleuar melakukan tinjauan dengan kumpulan besar. Ini satu peringatan juga buat saya, buat kita semua.

“Kita tidak lari daripada lakukan kesilapan sebegini tetapi kita haruslah beringat-ingat. Ini bukan sesuatu yang boleh di buat main langsung. Tengok puluhan ribu telah meninggal dunia kerana Covid-19 seluruh dunia.

“Saya merayu kepada semua khasnya yang duduk di pusat bandar yang padat pembangunan, kawasan-kawasan pangsapuri, PPR, kawasan perumahan, lokasi seperti ketika berkunjung ke pasar raya, tolonglah, tolonglah jagalah jarak anda. Jaga keselamatan diri. Ikut arahan,” jelasnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Banyak kawasan di KL tunjuk pertambahan jangkitan Covid-19