ISTANBUL – Dunia bola sepak Turki dikejutkan dengan berita sedih apabila pemain lagenda, Rusti Recber kini berada dalam keadaan kritikal selepas dijangkiti Covid-19.
Bekas penjaga gol itu kini telah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan rapi.
Khabar duka itu dikongsi oleh isteri Rustu, Isil di laman sosial Instagram miliknya.
“Saya baru sahaja membawa suami ke hospital selepas dia sah positive Covid-19. Dia kini dalam keadaan kritikal dan kami sedang melalui masa yang sukar.
“Saya berharap anda semua untuk mendoakan dan menghormati keadaan kami ketika ini. Saya telah menjalani saringan dan disahkan negatif, begitu juga dengan anak lelaki dan anak perempuan kami,” tulisnya.
Rustu yang berusia 46 tahun telah beraksi sebanyak 120 kali untuk pasukan kebangsaan Turki.
Antara aksi terbaik yang dipamerkan oleh penjaga gol terhebat dunia ini adalah ketika mewakili Turki untuk saingan Piala Dunia 2002 di Korea Japan.
Rustu adalah antara pemain generasi emas yang dimiliki Turki dalam sejarah bola sepak negara itu dengan mencetuskan kebangkitan dalam saingan bola sepak dunia.
Untuk kelab pula, dia pernah menjadi tembok kebal untuk pasukan hebat seperti Barcelona, Fenerbace dan Besiktas. – MalaysiaGazette