KUALA LUMPUR – Jumlah sekatan jalan raya di plaza-plaza tol seluruh negara akan ditingkatkan kepada 114 sekatan apabila fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakop berkata, sekatan jalan di plaza-plaza tol sebelum ini adalah 23 sebelum dinaikkan kepada 65 semalam.
Selain itu, setakat semalam, sejumlah 67,774 anggota penguatkuasaan telah ditugaskan untuk memastikan arahan PKP dipatuhi.
Ia merangkumi anggota tentera, polis, RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Kita mempunyai simpanan yang ramai dan jika keadaan memerlukan anggota-anggota yang terlibat dalam penguatkuasaan ini akan ditambah,” katanya semasa sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan sejumlah 828 individu telah ditahan oleh pihak polis sama ada semasa sekatan jalan raya mahupun rondaan kerana melanggar PKP.
Jelasnya, matlamat kerajaan bukanlah untuk melihat semakin ramai individu ditahan kerana melanggar perintah tersebut, sebaliknya mahu semua rakyat mematuhi PKP.
“Tangkapan semakin meningkat dan ini menunjukkan polis telah mula mengambil tindakan yang lebih tegas.
“Sasaran kita bukan hendak menambah tangkapan tetapi hendak mengurangkan tangkapan.
“Ini kerana semakin banyak tangkapan bermakna semakin ramai yang tidak patuh kepada arahan PKP,” tambahnya lagi.
Menurut Ismail, PKP fasa kedua adalah lebih ketat berbanding fasa pertama yang bermula pada 18 Mac dan berakhir hari ini.
Bagaimanapun, ianya berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor.
Premis-premis perniagaan yang dibenarkan masih tetap beroperasi seperti biasa, katanya.
Cuma waktu beroperasi telah ditetapkan kepada jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja. – MalaysiaGazette