Home Ekonomi Agihan pendapatan ASB 2 sebanyak 4.75 sen

Agihan pendapatan ASB 2 sebanyak 4.75 sen

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR-Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 4.75 sen seunit kepada 439,543 pemegang unitnya dengan agihan pendapatan sebanyak RM519 juta.

Setakat 29 Februari lalur, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta.

Syarikat pengurusan unit amanah milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu berkata, prestasi ASB 2 mengatasi Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank yang mencatatkan kadar pulangan 2.6 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020.

Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank dijadikan penanda aras bagi prestasi ASB 2 dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Sementara itu, ASNB turut mengumumkan agihan pendapatan ASM sebanyak 4.25 seunit dengan pengagihan pendapatan sebanyak RM868.8 juta kepada 553,188 pemegang unitnya.

ASM merekodkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta setakat 29 Februari 2020.

ASNB juga hari ini mengisytiharkan pengagihan pendapatan tiga dana harga berubahnya iaitu ASN Equity 3; ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1.

Agihan pendapapatan bagi ASN Equity 3 adalah 3.25 sen seunit manakala ASN Imbang 2 berjumlah 3.35 sen seunit dan ASN Sara 1 sebanyak 4.55 sen seunit.

Jumlah pembayaran bagi agihan pendapatan ketiga-tiga dana tersebut adalah sebanyak RM228.7 juta.

Ketiga-tiga dana berkenaan ditanda aras berbanding FBM 100 dan Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank, pada nisbah yang ditetapkan untuk setiap dana.

“Pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana berkenaan diperoleh daripada keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

“Di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang tahun 2019, portfolio dana PNB telah kekal kukuh secara relatif berbanding penanda aras masing-masing yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh pegangan saham berkualiti tinggi dengan asas yang kukuh, serta langkah yang telah diambil bagi mempelbagaikan lagi portfolio,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette