Home Nasional Masih terlalu awal jangka lanjut PKP sampai Ramadan

Masih terlalu awal jangka lanjut PKP sampai Ramadan

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Masih terlalu awal untuk membuat andaian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan hingga bulan Ramadan yang akan bermula pada 24 April ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh PKP sama ada dilanjutkan atau sebaliknya bergantung kepada keputusan dua minggu akan datang.

“Kita hanya akan tahu selepas minggu pertama bulan April untuk melihat bagaimana kami telah melakukan (perkembangan PKP).

“Jika kita boleh terus menurunkan corak semasa dan tidak ada kenaikan kes, maka saya fikir kita boleh membuat keputusan dengan selamat,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham menegaskan, langkah penjarakan sosial perlu dipatuhi dan menggelakkan tempat-tempat yang sesak khusus ketika bazar Ramadan nanti.

“Bila kita pergi pasar raya, pastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter perlu dipatuhi. Kalau nak buat bazar Ramadan, penjarakan sosial perlu dipatuhi,” katanya lagi.

Menurutnya, walaupun tempoh PKP tinggal dua minggu lagi namun orang ramai perlu terus berada di rumah sementara pihaknya meningkatkan ujian dan mengenal pasti kumpulan yang perlu diasingkan serta dirawat.

“Jika kita semua mempunyai disiplin sosial, saya pasti kita dapat meratakan lengkung untuk mengelakkan kenaikan eksponen.

“Jika tidak, (benarlah) ramalan oleh JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia bahawa pada pertengahan April kita akan mengalami lonjakan,” katanya. – MalaysiaGazette